Latar Belakang

Seminar al-Quran (SQ) merupakan seminar dwi tahunan anjuran Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI). Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari (SQ2012) merupakan siri ketiga yang dianjurkan oleh pihak FKI. SQ 2012 ini merupakan kesinambungan daripada Seminar Antarabangsa Qiraat dan Qurra’ (SQ2010) yang bertemakan “ Ilmu Qiraat dan Qurra’ Menjana Keilmuan Islam”, dan Seminar al-Quran dan Pembentukan Ummah Cemerlang (SQ2008) yang bertemakan “al-Quran Membentuk Ummah Cemerlang”.

Al-Quran berada di posisi yang utama dalam masyarakat muslim di seluruh dunia. Di samping sebagai sumber hukum, pedoman akhlak, bimbingan ibadah, doktrin keimanan, al-Quran juga adalah sumber peradaban, ekonomi, politik dan sosial, bahkan seluruh aspek yang terkait dengan kehidupan insan.

Kerelevanan al-Quran sebagai pedoman adalah universal dan abadi. Ia merupakan teras kepada kehidupan bernegara dan ianya telah dibuktikan melalui catatan emas sejarah kegemilangan lslam. Bertitik tolak dari premis ini, “ Menjana Transformasi Bertunjangkan al-Quran” dipilih sebagai tema SQ 2012.

Dengan menjadikan tema ini sebagai sandaran, seminar antarabangsa yang akan mengumpulkan para cendekiawan dari dalam dan luar negara yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang ini, pastinya dapat memberi input yang berguna dalam menggaris strategi tranformasi ummah secara holistik. Input ini juga dapat memperbanyakkan khazanah ilmu kontemporari yang diolah berasaskan panduan dan petunjuk al-Quran.

Perbahasan dimensi ilmu dalam al-Quran melalui penganjuran SQ2012, diharapkan dapat menjadi medium untuk menterjemahkan kedudukan al-Quran sebagai tonggak transformasi pembangunan manusiawi dalam pelbagai disiplin ilmu secara sepadu.